ANTARA individu yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


LIMA puluh lapan individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah dalam beberapa siri operasi sejak 2 Februari lalu sehingga semalam di sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 20 gram (g) dadah termasuk menerusi Ops Sarang yang dilakukan semalam.

“Operasi bermula 9 pagi semalam itu berjaya menahan 11 individu dan merampas 10.71 g dadah jenis syabu bernilai RM1,600 di Kampung Bakau, Likas dan kawasan Jelapang Padi, Inanam.

"Dalam operasi berasingan sepanjang minggu ini, polis turut berjaya merampas sebanyak 9.3 g dadah bernilai RM1,395 dan 47 individu termasuk lapan daripadanya melakukan kesalahan memiliki dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, semua tangkapan berusia antara 14 hingga 60 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi itu dilaksanakan hasil kerjasama daripada sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Operasi ini adalah berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

“Selain itu, ia dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di sarang terbabit," katanya.

Katanya lagi, operasi terbabit akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:15 AM