Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim


KERAJAAN Terengganu akan menganugerahkan penghargaan untuk Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, sebagai mengenang jasa Allahyarham yang lemas selepas membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penghargaan itu yang belum ditentukan bentuknya akan diberikan sebagai penghargaan atas keberanian dan sifat terpuji Allahyarham.

“Sebagaimana kita tahu, Allahyarham melakukan sesuatu yang terpuji apabila mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bukan seorang, tetapi lima mangsa dalam kejadian itu.

“Dalam keadaan arus sungai di situ agak deras, beliau sanggup terjun. Malah, Allahyarham juga adalah yang pertama terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Difahamkan Allahyarham sempat membantu menyelamatkan dua mangsa, namun akhirnya beliau terkorban.

“Ini satu sikap dan akhlak yang sangat terpuji. Saya sendiri akan usulkan dalam mesyuarat EXCO minggu ini untuk diberikan anugerah khas buat Allahyarham Abdul Bari atas kejayaan dan sifat terpuji beliau yang patut dicontohi seluruh belia dan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau ditemui ketika menziarahi jenazah dan keluarga Allahyarham Abdul Bari di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian itu, Abdul Bari sempat membantu menyelamatkan dua mangsa daripada lemas sebelum dia hilang di permukaan sungai.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada lima lagi pemuda yang turut terjun ke sungai berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Insya-Allah, mereka juga akan diberikan penghargaan. Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus melakukan usaha mencari sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Abdul Bari Asyraf akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Merbau selepas solat Zohor.

Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf lemas apabila niat murninya membantu menyelamatkan lima individu yang hampir lemas di sungai berkenaan gagal, apabila dia hilang dari permukaan air.

Dalam usahanya membantu, dia sempat menyelamatkan seorang daripada lima individu terbabit iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Abdul Bari Asyraf yang dalam keadaan lemah sempat menghulurkan kanak-kanak terbabit kepada orang awam yang berada di jeti berhampiran pulau berkenaan sebelum tenggelam.

Berita berkaitan

'Ini janji Allah...'

Mayat Abdul Bari ditemui [METROTV]

Dua anjing pengesan tiba hari ini

'Kecanggihan ROV diharap kesan Abdul Bari'

'Kami sayang kamu Abdul Bari'

'Ya Allah, permudahkan pencarian Abdul Bari...'

'Rasa nak habis nafas dah...'

'VRS 2000 apungkan Mitsubishi Storm'

'`YANG aku takut jika ajal yang tibe dulu...... ''

''Saya reda dan bangga' - Bapa Abdul Bari'

'Dia tenggelam timbul pegang budak'

PPDA cari Abdul Bari pagi ini

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'iki meluncur sebelum terjunam ke muara Sungai Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 12:16 PM