KANAK-KANAK berkenaan. FOTO Harun Yahya


DUA ‘toyol’ masing-masing berusia 11 dan 10 tahun dicekup ketika memecah masuk sebuah restoran, di Sibu, pagi semalam.

Lebih menyedihkan, penangkapan dua kanak-kanak berkenaan dipercayai mampu merungkai sekurang-kurangnya sembilan kes pecah masuk restoran dan premis perniagaan di sekitar Sibu.

Dua kanak-kanak itu kini direman selama empat hari, bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian 1 pagi itu, dua kanak-kanak berkenaan ditangkap selepas kelibat mereka diperhati seorang pengawal keselamatan di sebuah bank, berdekatan dengan kawasan kejadian.

“Pemilik restoran menerima panggilan telefon dari seorang pengawal keselamatan sebuah bank tidak jauh dari restoran berkenaan yang ternampak beberapa orang memecah masuk ke restorannya.

“Pemilik premis itu kemudiannya pergi ke kedainya lalu mendapati ‘roller shutter’ dalam keadaan sedikit terbuka. Dia kemudiannya menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemeriksaan dalam premis mendapati bahawa bahagian laci dalam keadaan berselerak, selain beberapa barang lain didapati hilang antaranya duit syiling berjumlah RM300 dan seunit iPad.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada beberapa barangan sudah siap dibungkus dalam plastik, namun gagal dibawa keluar oleh suspek, bungkusan itu mengandungi minuman tin dan makanan ringan,” katanya.

Stanley ketika mengulas lanjut, berkata polis berjaya menemui dan memberkas dua kanak-kanak itu yang bersembunyi dalam sebuah bilik fail dan dibawa ke Balai Polis Pusat Sibu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, penahanan dua kanak-kanak berkenaan membawa tangkapan membabitkan tiga remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun, di sebuah rumah, di Jalan Amoi, di Sibu, tengah hari, semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, polis mengesyaki kumpulan sama terbabit dalam sembilan kes pecah masuk ke restoran dan premis perniagaan di sekitar Sibu,” katanya.

Kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan curi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 2:14 PM