Najib (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
Murni Wan Omar

SELASA ini, tumpuan akan diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila kes jenayah membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapinya mula dibicarakan.

Najib, 65, yang mengaku tidak bersalah akan dibicarakan atas tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ia adalah sebahagian daripada 42 pertuduhan dihadapi oleh Najib yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan yang sama tetapi dana berbeza.

Prosiding bicara itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selama 33 hari bermula 12 Februari ini hingga 28 Februari dan 4 Mac hingga 29 Mac depan.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dengan dibantu dua peguam terkenal iaitu Datuk V Sithambaram dan Datuk Sulaiman Abdullah.

Manakala Najib, 65, diwakili pasukan peguam yang diketuai oleh Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah.

Seramai 50 saksi dari dalam dan luar negara akan dipanggil bagi memberi keterangan terhadap kes itu dan antara bukti kes bakal dikemukakan adalah minit mesyuarat, penyata bank dan penyata akaun.

Sehingga kini sebanyak 3,000 muka surat dokumen sudah diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC

Pada 8 Ogos tahun lalu juga, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC International.

Walaupun perbicaraan sepatutnya bermula Selasa ini, terdapat percubaan untuk menangguhkan prosiding oleh pihak pembelaan berikutan terdapat beberapa isu berbangkit antaranya berhubung perlantikan Sulaiman.

Jumaat lalu, Hakim Mohd Nazlan sudah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes.

Bagaimanapun pada hari sama sebelah petang, Najib menggunakan peluang terakhir dengan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

Selain memfailkan permohonan penangguhan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, beliau turut menyertakan perakuan segera bagi pendengaran secepat mungkin.

Hakim Mohd Nazlan juga pada masa sama membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi bagi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC itu.

Beliau turut menggunakan budi bicaranya supaya kes itu terus didengar di Mahkamah Tinggi atas alasan ia tidak memprejudiskan Najib serta tidak memberi kesan kepada prosiding kes.

Perkara itu mendapat bantahan daripada Najib yang turut mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan menarik balik sijil pindah kes itu.

Sebelum ini, Najib sudah memfailkan tiga permohonan rayuan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan penuh) iaitu berhubung surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes serta penzahiran dokumen.

Bagaimanapun ia hanya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 Mac depan.

PERBICARAAN KES DATUK SERI NAJIB RAZAK

Hakim: Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Pasukan Pendakwaan:

1. Tommy Thomas (Peguam Negara)

2. Datuk Sulaiman Abdullah

3. Datuk V Sithambaram

4. Manoj Kurup

5. Ishak Mohd Yusoff

6. Datuk Suhaimi Ibrahim

7. Donald Joseph Franklin

8. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi

9. Budiman Lutfi Mohamed

10. Sulaiman Kho Kheng Fuei

11. Mohd Ashrof Adrin Kamarul

12. Muhammad Izzat Fauzan

Pasukan Pembelaan:

1. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

2. Harvinderjit Singh

3. Farhan Read

4. Rahmat Hazlan

5. Muhammad Farhan Muhammad Shafee

6. Syahirah Hanapiah

Pertuduhan:

  • Pada 4 Julai 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna kedudukan iaitu sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Emeritus) SRC International Sdn Bhd.

  • Najib diamanahkan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

  • Melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Disember dan 29 Disember 2014 serta 10 Februari dan 2 Mac 2015.

  • Didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

  • Najib didakwa menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

  • Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya di antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

  • Didakwa mengikut Seksyen 24 akta sama, maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

  • Pada 8 Ogos 2018, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta ke dalam akaun miliknya.

  • Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di Bank AmIslamic.

  • Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bank Am Islamic Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan pada 26 Disember 2014.

  • Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM10 juta di tempat dan cara yang sama.

  • Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

  • Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda lima kali dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:03 PM