REMAJA ditahan polis ketika menunggang motosikal curi dalam ops bersepadu bersama agensi lain. -Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN remaja lelaki menunggang motosikal curi mengundang padah apabila dia ditahan dalam operasi bersepadu di persimpangan lampu isyarat Maktab Mahmud menghala ke Kuala Kedah, Alor Setar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggota polis trafik yang menjalankan operasi bersepadu bersama agensi lain mengesan motosikal ditunggang remaja berusia 18 tahun itu dalam keadaan mencurigakan pada 11.30 malam.

Menurutnya, anggota polis kemudian menahan untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Tikam Batu, Sungai Petani, tahun lalu.

“Polis kemudian merampas motosikal itu dan suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Sementara itu, dalam operasi itu sebanyak 87 saman dikeluarkan membabitkan 92 kesalahan trafik di mana 63 kereta, 26 motosikal, sebuah lori dan sebuah van diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, tiga motosikal yang melakukan kesalahan trafik turut disita bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi itu juga, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 39 orang di mana 14 positif syabu dan dua positif opiat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 8:49 AM