BEBERAPA kenderaan PDRM dilihat berada di kediaman Wong Soon Koh. (Gambar kecil) Andrew Wong Kee Yew. FOTO Harun Yahya


BEKAS calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Datuk Andrew Wong Kee Yew, ditemui meninggal dunia di kediaman keluarganya di Jalan Ipoh, Sibu, malam tadi.

Andrew, 42, yang juga anak lelaki tunggal Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh, ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya kira-kira 9 malam.

Sumber berkata, ibu mangsa ke bilik tidur mendiang di tingkat dua kediaman itu untuk memeriksa keadaannya selepas anak lelakinya tidak menyahut panggilan untuk turun makan malam bersama ahli keluarga yang lain.

“Sejurus pintu bilik dibuka, Andrew yang bersendirian di dalam bilik berkenaan didapati terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Berikutan itu, doktor dipanggil ke kediaman itu untuk memeriksa keadaannya, namun beliau disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Andrew meninggalkan seorang isteri dan dua anak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.

Kali terakhir beliau dilihat di khalayak ramai ketika menyambut kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sempena rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran bapanya, kelmarin.

Mendiang yang juga bekas Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) adalah pengasas Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS).

Pada PRU-14 beliau yang mewakili BN menghadapi saingan empat penjuru di Parlimen Sibu yang dimenangi calon DAP, Oscar Ling Chai Yew dengan majoriti 11,422 undi, manakala dua lagi calon, Simon Tiong Ing Tung (STAR) dan Tiew Yen Houng (SPP), hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kematian Andrew.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:26 AM