KHIDMAT Abot dan Rampai diguna untuk mendamai gajah liar. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guna khidmat ‘pakar goda’ bernama Abot dan Rambai bagi menundukkan gajah jantan liar yang mengganggu penduduk serta merosakkan tanaman.

Itu antara kaedah digunakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk menangkap gajah liar seberat lebih tiga tan di Kampung Bersia Lama, Gerik, Perak, kelmarin.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Abot dan Rambai yang juga gajah denak betina terlatih digunakan pihaknya bagi menjinakkan gajah liar yang menceroboh Kampung Bersia Lama sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, gajah liar itu ditangkap sekitar jam 9.30 pagi, kelmarin selepas usaha dilakukan dengan penuh berhati-hati.

“Kebiasaannya PERHILITAN melakukan persiapan rapi hampir seminggu bagi menjejak gajah liar terbabit dan peralatan yang mahu digunakan untuk menangkapnya.

“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa sehingga proses pemindahan gajah dilakukan. Biasanya anggota PERHILITAN berdepan cabaran termasuk isu keadaan lokasi dan bentuk muka bumi tempat terbabit.

“Namun, dengan pengalaman yang ada, kami menjinakkan gajah liar itu menggunakan khidmat pelatih gajah dan Abot serta Rambai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, PERHILITAN turut memindahkan dua anak gajah betina dan ibunya selepas haiwan itu merosakkan tanaman di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Operasi pemindahan gajah betina seberat tiga tan dan anak gajah masing-masing seberat dua dan satu tan itu dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Operasi itu turut menggunakan Abot dan Rambai bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk dipindahkan ke Taman Negara, Pahang.

Abdul Kadir meminta orang ramai yang berdepan masalah gangguan gajah melaporkannya kepada PERHILITAN.

“Sebaik-baiknya jangan cuba melakukan tindakan provokasi atau mendekati gajah liar berkenaan berikutan mamalia besar itu boleh mengancam nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 11:59 AM