MOHD Shariff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
MOHD Shariff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Mary Victoria Dass


ANGGOTA polis berpangkat koperal, Mohd Shariff Ahmad, 51, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta, bersetuju dan menerima rasuah dalam kejadian antara 4 hingga 31 Disember 2017 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Shariff yang bekerja di bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan bengkel di Kulai dan meminta rasuah berjumlah RM10,000 jam 6.20 petang, 31 Disember 2017.

Dia didakwa meminta suapan daripada Muhammad Audi Musa sebagai dorongan membantu menutup kes dadah iaitu ganja yang disiasat Bahagian Narkotik IPD Kulai.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berada di hadapan bengkel RMB Workshop di Taman Gemilang pada jam 9.25 malam, 4 Disember 2017 dan bersetuju menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada Muhammad Audi Musa untuk menutup kes ganja.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Shariff didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana lebih tinggi.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Mohd Shariff didakwa berada di hadapan bengkel RMB Workshop, Taman Gemilang jam 8.45 malam, 6 Disember 2017 dan menerima suapan sejumlah RM3,000 daripada Muhammad Audi Musa untuk menutup kes ganja.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dan seorang penjamin.

Kamarudin Kamsun kemudian menetapkan 11 Mac ini sebagai tarikh sebutan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Rasidah Abd Radzaz.

Terdahulu Khazrin mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 manakala Siti Rasidah memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh menyara isteri dan lima anak termasuk tiga masih bersekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:15 PM