Pisau pemotong daging dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa. FOTO Ihsan PDRM.
Hadzlihady Hassan

BERANG selepas ditegur kerana membakar sampah, seorang penjaga tokong mengamuk dan menetak dua lelaki menggunakan pisau pemotong daging di Wat Siam Mak Mandin, Butterworth, semalam.

Kejadian pada 8 malam itu menyebabkan seorang daripada mangsa menerima 17 jahitan di kepala manakala, seorang lagi luka di tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 57 tahun itu pada mulanya membakar sampah di kawasan terbuka di belakang tokong terbabit dan perbuatannya itu ditegur dua lelaki.

“Dua lelaki berkenaan menegur suspek supaya memadamkan api itu, namun suspek berang dan terus menghayun pisau pemotong daging dan menetak mereka.

“Kedua-dua mangsa yang berusia 70 dan 57 tahun kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek kemudian ke hospital sama pada 11 malam kerana dia cedera di jari dan tapak tangan.

“Suspek berjaya ditahan selepas polis menerima maklumat daripada pihak hospital dan dia ketika itu berada di bawah pengaruh alkohol.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 2:33 PM