Azhan (tengah) menunjukkan barang rampasan melalui serbuan dilakukan semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


TIGA BELAS lelaki tempatan dan seorang wanita warga Myanmar yang menyaksikan perlumbaan kuda secara langsung di Pulau Pinang dan Hong Kong kaku apabila premis yang dijadikan pusat pertaruhan di Taman Pantai, Batu Pahat diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, serbuan jam 2.45 petang itu dilakukan hasil maklumat awam serta intipan sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Katanya, polis menahan 14 individu berusia antara 47 hingga 62 tahun dipercayai terbabit dalam pertaruhan lumba kuda haram menggunakan sistem atas talian.

Menurutnya, turut ditahan lelaki lingkungan 40-an yang juga penjaga premis dan dipercayai berperanan sebagai penganjur pertaruhan lumba kuda haram itu.

“Hasil serbuan itu kami merampas dua komputer riba, dua modem Wifi, beberapa keratan akhbar dan buku catatan berkaitan pertaruhan judi lumba kuda serta wang tunai RM22,497.

“Semua 15 individu yang ditahan itu direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) akta sama.

“Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat hari ini.

Menurutnya, berikutan itu orang ramai dinasihatkan jangan mengambil bahagian dalam aktiviti perjudian haram di daerah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 4:39 PM