KUIL Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya iaitu lokasi kejadian rusuhan pada 27 November tahun lalu. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Iskandar Shah Mohamed dan Suraya Roslan


KORONER dan pihak berkepentingan bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan melawat lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pagi esok.

Lawatan itu akan disertai Koroner Rofiah Mohamad pada 10.30 pagi.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa semua peguam, Timbalan Pendakwa Raya dan tiga saksi terlebih dulu akan berkumpul di mahkamah sebelum menuju ke lokasi kejadian.

“Ia bertujuan mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu di sekitar lokasi berkenaan.

“Sejurus selesai, kami akan berpatah semula ke mahkamah," katanya ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

Selain Mohd Kamaruzaman, empat daripada tujuh peguam mewakili keluarga Muhammad Adib yang hadir iaitu Yahaya Othman, Mohamad Tajudin Abd Razak dan Mohamad Zubir Embong.

Dalam pada itu, kata Mohd Kamaruzaman, pihaknya setakat ini berpuas hati dengan prosiding hari pertama inkues berkenaan.

“Kami akan terus memaklumkan mengenai prosiding hari ini kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:02 PM