Nor Azmi menunjukkan antara barangan curi yang dirampas daripada dua beradik. FOTO Ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


KEGIATAN dua beradik yang memecah masuk sebuah rumah tidak berpenghuni dan menjadikannya sebagai tempat simpanan hasil curi di Sungai Besar terbongkar selepas diserbu polis Rabu lalu.

Dalam kejadian di Kampung Tebuk Haji Sidek itu, penjenayah berusia 27 dan 37 tahun itu dikatakan sempat ‘menginap’ di kediaman berkenaan selama tiga hari sebelum dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kegiatan mereka disedari cucu penghuni rumah terbabit yang menyedari kewujudan individu tidak dikenali berada dalam kediaman itu.

“Dia kemudiannya bertindak menghubungi polis jam 11 pagi dan sepasukan anggota polis tiba tidak lama kemudian.

“Kedua-dua suspek kemudiannya dicekup dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.

Nor Azmi berkata, polis merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan curi yang dilakukan kedua-dua suspek.

“Antara yang dirampas termasuklah pembesar suara, radio, telefon bimbit dan rantai tangan.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-duanya memiliki pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman seminggu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:18 PM