PERSATUAN Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng akan terima pingat khas daripada Sultan Johor. FOTO Ihsan Royal Press Office
Mohd Sabran Md Sani


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan pingat khas kepada Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng, Muar, atas kehebatan mereka muncul juara dunia sebanyak 12 kali sejak 1994.

Catatan berkenaan dikongsi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris menerusi laman sosial Facebook (FB) rasminya.

Kurniaan itu berikutan kejayaan persatuan berkenaan muncul juara dunia sebanyak 12 kali.

Raja Zarith Sofiah bertitah, Tuanku Sultan berkenan mengurniakan pingat khas itu pada sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor pada 23 Mac ini.

Titah Permaisuri Johor, pengurniaan pingat khas oleh Tuanku Sultan adalah atas semangat berpasukan yang ditunjukkan serta pelbagai usaha kreatif dilakukan hingga membolehkan pasukan itu muncul juara dunia sejak 1994.

“Tuanku Sultan turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan dicapai pasukan berkenaan hingga menjulang nama Johor di peringkat antarabangsa,” titah Tuanku Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

Pasukan itu ditubuhkan pada 1988 di Muar oleh Tan Chong Hing yang juga seorang ahli perniagaan dan aktivis kemasyarakatan.

Kejayaan demi kejayaan pasukan itu bukan sahaja membanggakan Johor, malah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:20 PM