Tapir jantan yang berjaya ditangkap PERHILITAN Kelantan semalam. FOTO Ihsan PERHILITAN Kelantan
Muhamaad Razis Ismail


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menangkap seekor tapir jantan yang memusnahkan ladang getah milik penduduk Kampung Pek, dekat Bukit Bakar, Machang sejak tahun lalu.

Ketua PERHILITAN Daerah Kuala Krai, Abdul Hakim Zulkefli berkata, mamalia seberat 120 kilogram (kg) terbabit ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang pihaknya antara jam 5 hingga 6 pagi semalam.

“Tapir itu ditemui berada di dalam perangkap oleh penduduk yang dalam perjalanan ke ladang getah sebelum memaklumkan kepada PERHILITAN.

“Kami menghantar satu pasukan ke lokasi perangkap itu untuk mengambil tapir berkenaan.

“Haiwan itu kemudian dilepaskan di Taman Negara hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan penduduk bahawa tapir terbabit sudah memasuki ladang dan memusnahkan pokok getah mereka sejak Julai, tahun lalu.

“Susulan itu kami memasang perangkap untuk menangkap tapir itu dan semalam haiwan itu masuk ke dalam perangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:47 PM