Najib keluar dari Mahkamah Rayuan, Putrajaya selepas mendengar permohonan beliau untuk menangguhkan perbicaraan tuduhan terhadapnya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Murni Wan Omar

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) dihadapinya.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmadi Asmawi dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan Najib yang diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah untuk perbicaraan itu ditangguhkan sementara.

Dalam penghakimannya, Ahmadi memutuskan bahawa pemohon (Najib) berjaya menunjukkan wujud keadaan istimewa bagi membolehkan penangguhan kes itu.

“Mahkamah mengambil maklum bahawa kesalahan yang dihadapi Najib adalah serius dan kes ini menarik perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa. Mahkamah juga setuju dengan hujah pendakwaan bahawa ia sepatutnya dibicarakan mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami berpendapat ia menjadi pembaziran masa dan perbicaraan yang berlangsung akan menjadi tidak sah jika rayuan pemohon dibenarkan kemudian hari. Mahkamah juga mendapati tiada sebarang taktik untuk menangguhkan perbicaraan seperti yang didakwa,” katanya.

Mahkamah dalam keputusannya membenarkan kes ditangguhkan bagi membolehkan rayuan Najib berhubung penarikan balik sijil pindah tujuh kes membabitkan dana SRC International itu didengar dan diputuskan terlebih dulu.

Turut bersidang bersama ialah Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Yew Jen Kie.

Pada 7 Februari lalu, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Rayuan.

Ia berikutan Najib ada memfailkan permohonan untuk mencabar tindakan pihak pendakwaan yang menarik balik sijil pindah kes sebelum ia bermula untuk perbicaraan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik sijil pindahan kes tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International itu.

Mahkamah yang sama juga memutuskan bahawa kes itu terus didengar di Mahkamah Tinggi atas alasan ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada prosiding.

Berita berkaitan

Perbicaraan Najib bermula Selasa

Tiga pertuduhan baru Najib dipindah ke Mahkamah Tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:09 PM