Zatul Iffah Zolkiply


TIDAK cukup disepak, wanita berusia 35 tahun turut menanggung kesakitan apabila dibelasah suaminya menggunakan sebatang penyapu gara-gara meminta cerai dalam kejadian di Gong Badak, Kuala Nerus, Khamis lalu.

Kejadian berlaku jam 11 malam ketika mangsa berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran dengan suami berusia 38 tahun berhubung mesej yang dihantarnya menerusi aplikasi WhatsApp sebelum itu.

Menurut sumber, lelaki itu meminta mangsa menjelaskan maksud mesej yang dihantar terutama mengenai tanggungjawab tidak dilaksanakan seperti tidak memberi nafkah melalui WhatsApp jam 1 tengah hari.

Katanya, mangsa cuba menjelaskan kenapa dia menghantar mesej itu kepada suaminya sebelum minta diceraikan.

“Tindakan mangsa itu menyebabkan lelaki itu naik hantu lalu bertindak menendang mangsa sehingga mangsa jatuh dan kepalanya terhantuk pada dinding rumah,” katanya.

Sumber berkata, penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suaminya yang masih tidak berpuas hati bertindak memukul isterinya menggunakan penyapu.

Katanya, mangsa hanya berhenti membelasah mangsa selepas melihat keadaan wanita terbabit yang lemah sebelum melarikan diri.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kerap berlaku dan dia nekad membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus kerana bimbang keselamatan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:38 PM