SUSPEK yang ditahan malam tadi selepas terbabit dalam kes pecah masuk sebuah rumah di Kampung Pagar Museh, Karangan, di Kulim, Sabtu lalu. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


TINDAKAN lelaki memecah masuk rumah di Kampung Pagar Museh, Karangan, di Kulim Sabtu lalu membawa padah apabila dia akhirnya ditahan polis di kawasan kampung itu, semalam.

Kejadian berlaku pada 2.40 petang itu disedari pemilik rumah yang ketika itu pulang ke rumah dan mendapati pintu dapur rumahnya berada dalam keadaan terkopak.

Selepas melakukan pemeriksaan di dalam rumah, pemilik rumah mendapati mesin rumput galasnya hilang.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata, susulan kejadian itu, polis yang membuat rondaan cegah jenayah di kampung terbabit semalam berjaya mengesan suspek yang berusia 25 tahun itu sebelum menahannya pada 9.50 malam di sekitar kawasan kampung itu.

“Suspek yang berasal dari kampung berkenaan mengaku terbabit dalam kejadian itu selepas ditahan polis.

“Suspek juga mempunyai rekod lampau iaitu enam rekod di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983, satu rekod masing-masing di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,”.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:42 AM