GAMBAR hiasan.
Nur Saliawati Salberi


GARA-GARA bimbang kantoi ujian saringan air kencing, seorang lelaki melarikan diri dengan memecut bas ekspres dipandunya ketika pemeriksaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dilakukan di hentian bas Melaka Sentral, Melaka, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, pemandu bas ekspres berusia 27 tahun itu berhenti di Melaka Sentral untuk mengambil penumpang sebelum diminta pegawai AADK menjalani ujian saringan air kencing.

Menurut sumber, lelaki terbabit adalah pemandu sambilan syarikat bas ekspres dan ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Beliau berkata, lelaki berkenaan didakwa tidak mengendahkan penguat kuasa AADK yang memanggilnya, sebaliknya bergegas ke bas lalu memecut laju meninggalkan hentian.

Bagaimanapun, tindakan pantas Unit Peronda Bermotor (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menahan bas terbabit ketika menghampiri Plaza Tol Ayer Keroh.

Sementara itu, Pengarah AADK Melaka, Mohd Yusof Kameh berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah dipercayai ganja.

“Dia ditahan dalam tempoh 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selain akan dipanggil semula ke pejabat AADK sebaik keputusan patologi diterima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 3:13 PM