DR Maszlee Malik. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


SEKOLAH rendah dan menengah di seluruh negara diminta melaksanakan Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) sebagai pengisian utama dalam perhimpunan sekolah alaf baru.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ia bagi mencapai kemenjadian pelajar dalam pelbagai kemahiran.

Katanya, M10MP yang dilaksanakan sewaktu perhimpunan mingguan akan memberi fokus kepada elemen amalan dan penghayatan nilai di samping mencetuskan budaya berfikir yang dilaksanakan sewaktu perhimpunan sekolah.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 800 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sudah melaksanakan modul berkenaan sejak diperkenalkan Januari 2017, sekali gus memperkasakan komponen Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).

“Evolusi perhimpunan sekolah alaf baru perlu diperkasa bersesuaian dengan keperluan dan hasrat kementerian untuk mencapai kemenjadian pelajar daripada pelbagai kemahiran.

“Setiap kali perhimpunan pelajar akan mendengar ucapan berjela-jela, leteran panjang dan aktiviti perhimpunan yang membosankan. Akibatnya, perhimpunan sekolah bukan lagi sesuatu acara yang menyeronokkan pelajar... Justeru, ia perlu diubah serta-merta.

“Perhimpunan sekolah perlu berubah daripada amalan konvensional

kepada amalan yang lebih dinamik,” katanya ketika berucap merasmikan Program Wadah Perhimpunan Sekolah Alaf Baru dan Pelancaran 60 Tahun Kampus Ilmu Khas, di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, hari ini.

Hadir sama, Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Maszlee berkata, IPG Kampus Ilmu Khas yang juga Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir adalah penggerak utama kepada idea kreatif yang membangunkan M10MP.

“Konsep ini akan menyebabkan perhimpunan mingguan ​​​​​​​sekolah lebih ceria dengan aktiviti berkonsepkan amalan berimpak tinggi, berpusatkan pelajar sekali gus membentuk kemenjadian pelajar dalam waktu yang singkat.

“Selain itu, ia turut mengetengahkan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kreativiti, pentaksiran dan atribut diri (karektor pelajar) yang digabung secara komprehensif dalam perhimpunan berkenaan.

“Sebanyak 42 aktiviti M10MP dilaksanakan setahun bagi menerapkan amalan nilai dalam pendidikan. Semua elemen diadun dalam panduan pelaksanaan lengkap supaya aktiviti yang dibuat bermakna kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya, selain daripada pendidikan berteraskan nilai, kita juga memfokuskan ketinggian kualiti sebagai hala tuju yang perlu dicapai bersama,” katanya.

Beliau berkata, ketinggian kualiti merangkumi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 3:18 PM