TERTUDUH,Mohd Arizan Baharuddin, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan menampar dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya menggunakan sebilah pisau. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menampar dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya menggunakan sebilah pisau.

Tertuduh, Mohd Arizan Baharuddin, 40, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326A KK dan Seksyen 352 KK dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isteri, Nor Faizati Zakaria, 27, di sebuah rumah di Kampung Tok Jiring, di sini, jam 11 pagi pada 2 Februari lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A KK, tertuduh berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan mengikut Seksyen 323 KK.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan menggunakan sebilah pisau di alamat sama, jam 10 malam pada 4 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Chia Bih Huah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 3:48 PM