Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


SEORANG pegawai pengawalan kredit didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang wanita yang juga rakan baiknya menggunakan bahan cecair disyaki asid pada 25 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Nazarudin Najimudin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazarudin didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Nor Shafika Hasim, 32, menggunakan cecair sehingga melecur kepada mangsa.

Ia didakwa dilakukan di Jalan Pandan Indah 22, Pandah Indah, Ampang pada 7.40 malam 25 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang menyerah diri selepas kejadian itu ditemani isteri dan anak kelihatan tenang ketika mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzi yang kemudiannya tidak menawarkan jaminan kerana khuatir keselamatan mangsa sekiranya tertuduh dilepaskan.

“Mangsa dilaporkan kini cedera parah di bahagian mata dan melecur sebahagian tubuh selepas disimbah asid.

“Jadi, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana khuatir keselamatan mangsa berada dalam ancaman,” katanya.

Mahkamah kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Nazarudin yang diwakili peguam K Ponnusamy dan menetapkan 14 Mac bagi sebutan tarikh seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 3:59 PM
MOHD Nazarudin diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimbah asid terhadap rakan sekerjanya di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.