GAMBAR terakhir yang dirakam di Kota Bharu sebelum kejadian kemalangan (Mohd Kharulinzam Jusoh, 37 bersama isteri Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21.Nur Khaira Aisyah sembilan bulan yang maut dalam kemalangan manakala Muhammad Khairul Haziq, 5, parah (duduk kanan) di masukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah,Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


“HAZIQ belum tahu mengenai kematian ibu, bapa dan adiknya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana harus menerangkan kejadian itu,” kata Nur Fatihah Jusoh, 34, ibu saudara kepada Muhammad Khairul Haziq, 5.

Muhammad Khairul Haziq satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Dalam kemalangan 2.50 pagi itu, bapa Muhammad Khairul Haziq, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38; ibunya, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, serta adik, Nur Khaira Aisyah meninggal dunia.

Turut terkorban, adik dan ibu kepada Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5, dan Rozilawati Mustafa@Razali, 43.

Menurut Nur Fatihah, dia simpati dengan nasib yang menimpa anak saudaranya yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Katanya, sejak dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Haziq asyik memanggil dan bertanyakan bapanya.

“Haziq memang rapat dengan bapanya sehinggakan mengigau memanggil nama bapanya kerana terlalu rindu.

“Dia turut bertanya tentang ibu dan adik tetapi kami terpaksa memaklumkan yang bapanya pergi bekerja, manakala ibu serta adiknya berada di rumah.

“Bukan mahu menipu tetapi kami terpaksa berbuat demikian demi kesihatannya memandangkan dia masih dirawat di hospital menyebabkan kami sekeluarga mengambil keputusan merahsiakan hal itu daripadanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) di Kampung Paloh Tuan Sulong, di Kuala Terengganu hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah PERKESO Terengganu, Nora Yaacob menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada Wook Awang, 68, iaitu ibu kepada Mohd Kharulinzam sambil disaksikan Ketua Skuad Prihatin PERKESO Terengganu Mohd Sabri Ramli.

Nur Fatihah yang juga adik kepada Allahyarham Mohd Kharulinzam berkata, Haziq kanak-kanak yang ceria dan banyak bercakap, namun insiden itu menyebabkan dia menjadi pendiam.

“Haziq hanya bercakap ketika bertanyakan tentang ibu bapanya selebihnya hanya diam. Luluh hati kami melihat keadaannya itu,” katanya.

Sementara itu, Wook berkata, dia bersedia menjaga cucunya sekiranya diberikan tanggungjawab berkenaan.

“Saya difahamkan ramai waris kepada Haziq termasuk keluarga sebelah ibunya ingin menjaga Haziq, jadi saya tidak bimbang soal itu.

“Apa yang penting kebajikan cucu saya terjaga dan saya yakin ibu serta bapa saudaranya menyayanginya serta bersedia menjaga,” katanya.

Berita berkaitan

Ajal lima sekeluarga

Kenangan terakhir [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:07 PM