Antara barang yang dirampas dalam serbuan semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

SEKUMPULAN lelaki yang sedang asyik bermain judi belangkas di belakang sebuah rumah di Kampung Lembah Palas, Changlun, Kubang Pasu, bertempiaran lari selepas lokasi itu diserbu polis.

Bagaimanapun, empat daripada mereka berusia 34 hingga 60 tahun berjaya ditahan termasuk seorang yang berusia 41 tahun, disyaki penganjur permainan itu.

Mereka ditahan anggota pasukan ‘Task Force’ Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, dalam operasi petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kawasan itu disyaki dijadikan ‘port’ baharu untuk berjudi tetapi tidak lama apabila berjaya dikesan pihaknya.

Katanya, pihaknya merampas sebuah meja plastik berkaki besi, satu pinggan kaca berwarna putih, sebuah mangkuk aluminium, dua batang lidi dadu yang mengandungi gambar bunga, ikan, belangkas dan udang.

“Kita turut merampas wang tunai pada setiap suspek yang keseluruhannya berjumlah RM655.

“Kesemua mereka yang berasal di sekitar Changlun kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 7 (2)Akta Rumah Judi Terbuka 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, berdasarkan rekod, suspek berusia 41 tahun itu pernah ditahan kerana kesalahan sama, manakala tiga suspek yang lain tidak mempunyai rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:12 PM