LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Shamsul Munir Safini


SEORANG lelaki dengan 16 rekod jenayah lampau diberkas polis di Parit Buntar, Perak, semalam susulan penemuan pistol, peluru dan bom tangan di Bukit Mertajam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan 5 petang itu, suspek lelaki berusia 42 tahun itu diberkas di hadapan kedai aksesori kereta di Parit Buntar.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas dia didapati individu terakhir menyewa rumah di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam yang juga lokasi penemuan bom, senjata api, peluru serta peralatan lain.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan akan direman selama tujuh hari bagi siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mengaku semua barang itu adalah miliknya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam kejadian Sabtu lalu, polis yang berkunjung semula ke sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam, yang pernah diserbu kerana dipercayai makmal memproses dadah, menemui 349 peluru hidup, dua pistol dan sebutir bom tangan masih aktif, semuanya disorokkan dalam kepala katil.

Pasukan polis ke rumah dua tingkat itu pada 2.30 petang untuk pemeriksaan susulan selepas serbuan pertama pada 2 Disember tahun lalu.

“Rumah itu dipercayai sudah ditinggalkan penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan pertama dulu (2 Disember) dan kami menemui pil ekstasi dan peralatan memproses dadah bernilai RM700,000,” katanya.

Berita berkaitan

'Siasat kes dadah tapi jumpa senjata, bahan api'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:20 PM