Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SEORANG peneroka pitam dan terjatuh ketika menyertai perhimpunan di luar pekarangan Wisma Negeri di Seremban, hari ini, sebelum dikejarkan ke hospital oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM).

Wanita terbabit, B Ramulamah, 65, menyertai perhimpunan bagi menyerahkan memorandum menuntut penyelesaian isu tanah peneroka Kampung Serampang Indah, Jempol, kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dia antara 60 peneroka yang datang sejauh 80 kilometer dari kampung itu yang lebih dikenali sebagai Kampung Gatco untuk berhimpun pada 11 pagi.

R Ravi, 50, yang mengetuai penyerahan memorandum itu berkata, mereka sanggup bermalam di luar Wisma Negeri sekiranya Aminuddin tidak keluar berjumpa mereka.

Menurutnya, perbincangan mengenai masalah itu sudah diadakan bersama wakil kerajaan negeri sejak tahun lalu, namun sehingga kini seolah-olah tiada jalan penyelesaian diambil.

“Tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri datang mengadakan perbincangan dengan kami pada Julai tahun lalu dan hasil perbincangan itu, mereka berjanji memperjuangkan hak mendapatkan kira-kira tiga hektar tanah kepada setiap peneroka.

“Namun, sehingga kini isu ini belum selesai dan kami sudah dua kali menghantar memorandum menuntut penyelesaian sama, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Ravi berkata, peneroka tiada pilihan lain selain mengadakan perhimpunan mendesak Menteri Besar berjumpa dan menyelesaikan masalah itu segera.

Kemelut asalnya ialah Ladang Gatco bermula sejak lebih 40 tahun lalu apabila penduduk asal dijemput untuk mengusahakan ladang, tetapi pelbagai masalah menyebabkan pemilikan tanah bertukar tangan dan akhirnya dikuasai sebuah syarikat swasta.

Bagaimanapun, campur tangan kerajaan negeri membolehkan syarikat itu bersetuju menyerahkan tanah kepada penduduk pada 2013.

Menurut formula penyelesaian dipersetujui, tanah seluas 480 hektar akan diagihkan kepada penduduk iaitu 1.6 hektar untuk pemilik asal tanah, 1.6 hektar untuk waris dan 0.8 hektar kepada mereka yang membeli tanah daripada pemilik asal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan yang mewakili kerajaan negeri bagi menyelesaikan kemelut itu berkata, pihaknya sudah mengkaji kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

“Di peringkat permulaan, kami akan menyelesaikan isu tanah milik 170 peneroka yang bersetuju dengan formula penyelesaian diberikan kerajaan negeri terdahulu.

“Kemudian kami akan lihat pula isu tanah bagi peneroka yang tidak bersetuju dengan penyelesaian itu.

“Kemelut ini mengambil masa panjang untuk diselesaikan kerana ia membabitkan banyak pihak, malah isu ini sudah berlarutan puluhan tahun.

“Kami perlu semak semua dokumen dan merujuk undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:50 PM
PENEROKA Gatco berhimpun di hadapan bangunan Wisma Negeri, Seremban susulan kemelut pemilikan tanah ladang Gatco di Kampung Serampang Indah di Serting Hilir, Jempol, yang berlarutan sejak 40 tahun lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman.