Laporan online Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin

DUA lelaki warga Bangladesh yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah rumah di Taman Mudun, Kajang, Selangor hari ini dipercayai ada kaitan dengan kes bunuh lelaki warga Bangladesh yang ditemui di bawah jambatan Pasar Pudu Off Jalan Yew, Kuala Lumpur 13 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dua suspek berusia lingkungan 30-an itu yang dipercayai ada kaitan dengan kes bunuh lelaki warga Bangladesh yang ditemui mati di bawah jambatan terbabit.

“Ketika menjalankan siasatan kes itu, kami mendapat petunjuk baru bahawa dua suspek berkenaan juga terbabit dengan kegiatan menculik warga asing.

“Pada 8 Februari lalu, kami menerima laporan mengenai seorang lelaki warga Bangladesh diculik di Jalan Ipoh dan penculik meminta wang tebusan RM200,000 daripada keluarga mangsa di kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Unit Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Polis Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat serbuan di sebuah rumah Taman Mudun, Kajang yang dijadikan tempat mengurung mangsa pada jam 1.35 pagi tadi.

“Ketika serbuan, pihak polis diancam dengan beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek.

“Dalam kejadian berbalas tembakan itu, kedua-dua suspek ditembak mati.

“Pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri kedua-dua suspek berkenaan.

“Dalam kejadian itu, polis berjaya menyelamatkan mangsa culik yang berada di dalam sebuah bilik dalam rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang disyaki ahli kumpulan sindiket penculikan didalangi dua lelaki warga Bangladesh berkenaan dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipercayai digunakan suspek untuk menculik mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek itu dipercayai terbabit dalam 13 kes penculikan warga Bangladesh di sekitar ibu kota ini membabitkan kerugian wang tebusan dianggarkan RM2.5 juta.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Yusman Ab Ghani di talian 011-23128387 atau hubungi Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584/585,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua lelaki warga Bangladesh ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Mudun hari ini.

Berita berkaitan

Dua maut, mangsa culik diselamatkan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 7:38 PM