Dr Mahathir ketika sidang media di Putrajaya. FOTO NSTP
Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A'isyah Sukaimi


TUN Dr Mahathir Mohamad menjelaskan cadangan bagi menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi sudah dirancang tahun lalu, namun tidak dapat dilaksanakan pada masa itu berikutan kekangan masa.

Perdana Menteri berkata, kini kerajaan sudah bersedia untuk menggerakkan majlis itu dan ia akan digunakan untuk mendapatkan idea bagi membangunkan ekonomi negara.

“Ketika saya menjawat jawatan Perdana Menteri sebelum ini, saya juga menubuhkan majlis yang sama dan ia tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

“Ketika itu, Kabinet saya memberi sepenuh kerjasama dalam penubuhan majlis itu dan ia dianggap berjaya,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dr Mahathir berkata, Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan idea dan pendapat, bukannya mengumpulkan idea sesama sendiri.

Katanya, walaupun barisan Kabinet dan anggota kerajaan terdiri daripada cerdik pandai, namun ada kalanya perlu mendapatkan pandangan dan idea daripada orang ramai.

“Adalah penting untuk kerajaan mendengar pendapat daripada orang luar,” katanya.

Menurutnya, Majlis Tindakan Ekonomi akan memberi fokus kepada menyelesaikan masalah ekonomi terlebih dahulu memandangkan kerajaan sekarang terpaksa berdepan dengan masalah hutang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Pejabat Perdana Menteri, semalam, mengumumkan pelantikan 16 ahli bagi menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Dr Mahathir.

Anggota lain yang dilantik dalam majlis itu termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ahli lain, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Pofessor Dr Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dr Hasnita Hashim, Pengerusi Bursa Malaysia Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, Pengerusi Asean Business Advisory Council, Malaysia Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvaraj, Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut MASA Nizam Mahshar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:34 PM