Marzuki serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A’isyah Sukaimi
am@hmetro.com.my


BERSATU akan tetap meneruskan petisyen pilihan raya mencabar kemenangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, meskipun pemimpin itu sudah menyertai parti berkenaan.

Setiausaha Agung BERSATU Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung permohonan itu yang dikemukakan beliau sendiri.

“Kita akan teruskan (petisyen), biarlah mahkamah putuskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian BERSATU kepada bekas Ahli Parlimen UMNO di Putrajaya, hari ini.

Shabudin adalah antara tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO yang mengisytiharkan untuk memasuki BERSATU dan menerima kad keahlian, hari ini.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memerintahkan petisyen pilihan raya untuk mencabar kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk pendengaran.

Petisyen itu difailkan oleh Marzuki selepas Shabudin menang dengan majoriti 81 undi.

Berita berkaitan

Tujuh bekas ahli Parlimen UMNO masuk BERSATU [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:43 PM