PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat lebih tinggi, tahun ini. FOTO Arkib NSTP.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


PUSAT Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat RM710 juta, tahun ini berbanding RM651.22 juta tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, jumlah kutipan yang tinggi itu menuntut MAIWP bekerja keras dan proaktif khususnya untuk mengagihkan zakat kepada asnaf.

“Sehubungan itu MAIWP sudah menyediakan pelbagai program dalam usaha mengagihkan zakat kepada asnaf seterusnya mengeluarkan mereka daripada kancah kemiskinan.

“Ia dengan sasaran mengurangkan kadarnya kepada dua hingga empat peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Duta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, universiti wakaf yang dirancang dibina MAIWP mencontohi kewujudan Universiti Al-Azhar di Mesir dan beberapa universiti wakaf di Turki.

“Pembinaan dan operasi yang akan dimaklumkan nanti bakal menggunakan dana yang diterima daripada komuniti Muslim, sehubungan itu saya menyeru negara OIC membantu bagi menjayakan perancangan ini,” katanya.

Tahun lalu, MAIWP mengutip RM651.22 juta zakat, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM615.19 juta.

Kutipan tahun ini disasarkan membabitkan 190,000 pembayar zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:30 PM