Anggota penguat kuasa APMM Zon Maritim Kuala Kedah memeriksa bot yang disyaki menangkap siput secara haram berhampiran pantai Kuala Sala. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


DUA bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap siput secara haram, kira-kira 0.5 batu nautika dari muara barat berhampiran Pantai Kuala Sala, Yan, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya turut menahan enam nelayan dalam kedua-dua bot itu selepas pemeriksaan dilakukan 10.30 malam.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

“Selain itu mereka juga didakwa kerana memiliki peralatan yang tidak dilesenkan iaitu tangguk tunda siput (sangkar besi).

“Kami sentiasa mengambil maklum terhadap aduan berhubung pelanggaran undang-undang yang sebahagiannya membabitkan kesalahan dilakukan pengusaha bot siput,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mahmad Faizal berkata, antara peralatan yang dirampas, termasuk dua set sangkar besi yang dianggarkan bernilai RM6,000.

Menurutnya, kedua-dua bot itu kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Kami juga mengharapkan maklumat dan kerjasama orang ramai dan komuniti maritim supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara ini,” katanya.

Katanya, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:01 PM