Laporan portal Harian Metro mengenai sebuah premis syarikat pemaju dipecah masuk.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


DUA lagi suspek ditahan hari ini susulan kejadian pecah masuk premis syarikat pemaju di Taman Selasih, Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek lelaki yang berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan di Taman Indah Kuala Ketil, kira-kira 2 petang.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes pecah masuk premis perniagaan berkenaan bersama seorang lagi suspek yang ditahan semalam.

“Kedua-dua suspek itu juga didapati mempunyai rekod lampau jenayah yang mana seorang daripadanya dikehendaki mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis turut merampas barang kes seperti kuku kambing, seutas gelang tangan emas, komputer riba dan kereta Proton Satria yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Sehingga kini jumlah tangkapan berkaitan kes berkenaan membabitkan tiga suspek.

Semalam, lelaki berusia 43 tahun ditahan di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana disyaki terbabit dalam kejadian memecah masuk premis syarikat pemaju itu.

Kejadian hanya disedari sekitar 8.30 pagi semalam selepas pekerja syarikat itu mendapati mendapati premis itu sudah dipecah masuk.

Dia kemudian membuat laporan polis selepas diarahkan majikannya.

Dalam kejadian itu, syarikat berkenaan dipercayai kerugian kira-kira RM20,000 selepas beberapa barangan, termasuk peti besi dan simpanan wang tunai pejabat dipecahkan.

Berita berkaitan

Potong elektrik pecah masuk premis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:30 PM