ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas bot pam selepas disyaki menangkap ikan dengan cara menggunakan bahan letupan di kawasan laut Kampung Basilan, Kunak. FOTO Ihsan PPM
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


JURAGAN bot nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut Kampung Basilan, Kunak, semalam.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, suspek kemudian gagal dikesan anggota Unit Risikan Marin PPM Lahad Datu, dipercayai melarikan diri ke kawasan kampung berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepasukan PPM Lahad Datu sedang menjalankan operasi dan mengesan bot pam disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut kampung berkenaan.

“Menyedari kehadiran pasukan PPM, juragan bot itu bertindak terjun dan meloloskan diri masuk ke kawasan kampung itu.

“Pemeriksaan ke atas bot pam menemui pelbagai jenis ikan disyaki ditangkap dengan bahan letupan,” katanya di Lahad Datu, hari ini.

Menurutnya, anggota PPM Lahad Datu turut menemui enam paket kecil berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.32 gram, wang tunai RM12 dan lima keping kertas timah.

“Semua barangan bernilai RM2,812 termasuk bot dirampas dan dibawa ke Pos PPM Kunak untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 10:47 AM