Lokasi kejadian seorang lelaki melecur akibat mahu mencuri kabel besi pada pencawang elektrik di Chuah, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


LELAKI kritikal akibat terkena renjatan elektrik selepas cuba mencuri kabel besi di pencawang elektrik berhampiran stesen minyak di Chuah, di Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada kejadian 12.05 tengahari, suspek berusia 27 tahun melakukan kegiatan itu seorang diri.

Katanya, sebaik kabel besi dicabut, berlaku satu letupan kuat di kawasan itu hingga menyebabkan bekalan elektrik di Tanah Merah Site C hingga ke Bukit Palong, di sini terputus.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian menghubungi pihak polis sebelum sepasukan anggota ke lokasi. Pihak kami yang tiba mendapati pagar di kawasan pencawang dipotong,” katanya.

Menurut Aidi Sham, saksi kejadian memberitahu melihat suspek yang melecur dalam keadaan baju terkoyak akibat terbakar, melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Bertindak atas makluman, pihak polis membuat semakan melalui Unit Kecemasan Hospital Port Dickson. Suspek disahkan menerima rawatan dengan seluruh bahagian muka dan hampir 20 peratus badan melecur,” katanya.

Menurutnya lagi, lelaki itu dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban berikutan keadaannya kini kritikal.

“Berdasarkan semakan, suspek menetap di Taman Lukut Makmur, di sini dan sudah berkahwin. Dia juga pernah ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah dan mencuri,” katanya.

Aidi Sham berkata, sebaik kejadian, juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemeriksaan dan mendapati kehilangan kompenan elektrik dalam pencawang terbabit.

“Pihak polis difahamkan pencawang itu menyalurkan tenaga elektrik bervoltan tinggi. Buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek akan ditahan selepas keadaannya stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:25 AM