Murni Wan Omar


BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 14 pertuduhan menerima rasuah membabitkan bayaran ansuran kereta berjumlah RM23,540.68

Noor Ehsanuddin, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Ahmad.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ahli Lembaga Pengarah Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ada menerima bayaran ansuran kenderaan RM23,540.68 melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Difahamkan kereta itu ialah jenis BMW 3 Series.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Taman Maluri, Jalan Mahkota, Kuala Lumpur antara 10 Februari 2014 hingga 9 November 2015.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


NOOR Ehsanuddin (tengah) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk R Thrichelvam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Ahad lalu, Noor Ehsanuddin bersalah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas dua pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM50,000 serta sebidang tanah bernilai RM180,000.

Difahamkan tertuduh akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:38 PM