Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BEKAS Ketua Balai Polis Tanah Merah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tiga pertuduhan rasuah pada 2014.

Tertuduh, Sarjan Abdul Qayum Vekapady Abdullah, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa sebaik semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima RM500 dan meminta suapan berbentuk telefon bimbit daripada M Moorthy, untuk tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori digunakan lelaki itu yang melalui kawasan pentadbiran balai polis berkenaan.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu di Lot 7271, Pekan Tanah Merah Utara, Kampung Baru Site C, Port Dickson, antara 1.40 tengah hari hingga 2.10 petang pada 5 Mac 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima RM1,000 bagi membeli telefon bimbit Iphone 5 untuk dirinya, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan yang sama daripada lelaki yang sama.


ABDUL Qayum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tiga pertuduhan rasuah. FOTO Hazreen Mohamad

Perbuatan itu dilakukan di Restoran Old Town White Coffee, Port Dickson pada 3.40 petang, 6 Mac 2014.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Abdul Qayum didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanah Mohd Nawawi dan Karmila Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam, Rajinder Singh.

Ketika mengemukan jaminan, Nordiyanah memohon ikat jamin RM21,000 bagi semua pertuduhan sebelum Rajinder meminta jaminan yang rendah terhadap anam guamnya.

Sebaik meneliti rayuan kedua-dua pihak, Junaidah menawarkan jaminan RM15,000 bagi tiga pertuduhan sebelum menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:42 PM