PENGARAH Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah, Zaki Mohamed (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 178 unit al Quran bernilai RM23,140 yang dirampas pada Khamis lepas dalam serbuan sebuah stor di Sungai Petani selepas dikesan tidak memiliki kelulusan daripada kementerian terbabit pada Sidang Media di Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah, Anak Bukit. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 178 unit al-Quran bernilai RM23,140 dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah di stor di Sungai Petani selepas dikesan tidak mempunyai kelulusan daripada kementerian terbabit.

Pengarahnya, Zaki Mohamed berkata, al-Quran itu dirampas kira-kira 12 tengah hari Khamis lalu hasil risikan anggota bahagian berkenaan selepas ia didapati dijual secara berleluasa di laman sosial terutama Facebook.

Katanya al-Quran itu dibimbangi kandungannya menyalahi sama ada dari segi ayat dan baris dan boleh menyebabkan umat Islam salah membaca serta menyimpang dari maksudnya.

“Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi.

“Pihak kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut konsep resam Usmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa Sesi Taklimat Pengenalan Bahagian PKK di Pejabat KDN di Alor Setar, hari ini.

Selain itu, Zaki berkata, sepanjang bulan lalu sahaja, sebanyak 28 unit al-Quran tidak mempunyai kelulusan KDN berjaya dirampas di pejabat pos di Kedah.

Katanya, anggota bahagian terbabit turut melakukan pemeriksaan di pejabat pos dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan setiap hari bagi mengesan al-Quran yang tiada kelulusan.

“Orang ramai boleh melihat sama ada al-Quran yang dibeli itu mendapat kelulusan atau tidak menerusi cop dan hologram KDN. Jika tiada kelulusan jangan beli, sebagai umat Islam kita harus bertanggungjawab supaya ibadah kita tidak sia-sia.

“Bagi penjual al-Quran yang tiada kelulusan KDN pula, mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 2:21 PM