WANITA warga asing menyorok dalam tandas ketika diserbu anggota penguatkuasa JIM Kedah di premis perniagaan di sekitar Kulim. FOTO Ihsan JIM
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN wanita warga asing yang menyorok dalam tandas bagi mengelakkan dicekup anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di premis perniagaan di Kulim, tidak berhasil selepas dia ditahan dalam satu Operasi Bersepadu, semalam.

Wanita Indonesia berusia sekitar 30-an yang sebelum itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota JIM Kedah di kawasan itu.

Dia kemudian meluru masuk ke dalam tandas di premis perniagaan itu untuk menyembunyikan diri, namun taktik lapuk itu segera dikesan oleh anggota JIM yang mengarahkannya untuk keluar dari tandas berkenaan.

Dalam operasi yang bermula 9 pagi, seramai 30 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan anggota penguat kuasa JIM Kedah dalam operasi yang diadakan premis perniagaan dan tapak perumahan di sekitar Kulim.

Operasi itu disertai seramai 26 anggota penguatkuasa JIM Kedah di dua lokasi berkenaan berdasarkan maklumat awam.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam pemeriksaan itu, seramai 289 warga asing di periksa dan daripada jumlah itu hanya 30 orang daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, dua lelaki warga negara Myanmar, 18 lelaki Bangladesh, seorang lelaki warga negara Pakistan, seorang lelaki serta dua perempuan warga negara Indonesia ditahan dalam operasi yang berakhir 12 jam kemudian itu.

“Turut ditahan empat lelaki dan dua perempuan warga negara Nepal.

“Kesemua mereka berusia lingkungan antara 22 sehingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah) dan Seksyen (15)(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) iaitu tinggal melebihi masa di Malaysia.

Beliau berkata, kes turut disiasat Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan berkerja secara tidak sah.

“Mereka kemudian ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Alor Setar Untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:44 PM