Video yang tular selepas seorang lelaki memaut leher peragut rantai lehernya. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LELAKI yang menjadi mangsa ragut bertindak nekad dengan memaut leher peragut rantai dan cincin emasnya sejauh 500 meter sebelum motosikal dinaiki peragut terjatuh ke bahu jalan berhampiran pangsapuri Bertam Malim, Melaka awal bulan ini.

Dalam kejadian 2 Februari lalu jam 3.30 petang, mangsa berusia 49 tahun bersama anaknya berada bersebelahan gerai menjual kelapa sebelum didatangi lelaki yang meragut rantai dipakainya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa yang ketika itu duduk membelakangi jalan raya terkejut selepas rantai leher berloketkan cincinnya direntap dari arah belakang.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan ketika kejadian ramai pelanggan di gerai itu tetapi kejadian tidak disedari mereka.

“Sebaik menoleh ke belakang, mangsa mendapati lelaki yang meragut rantainya berlari ke arah sebuah motosikal.

“Mangsa bergegas mengejar suspek yang berada di atas motosikal lalu memaut leher lelaki itu ketika motosikal sedang bergerak,” katanya hari ini.

Afzanizar berkata, selepas kira-kira 500 meter berbuat demikian mangsa berjaya menjatuhkan motosikal suspek di bahu jalan.

“Suspek bagaimanapun dapat melarikan diri dengan dibantu rakannya dan siasatan polis mendapati empat individu terbabit dalam kejadian ini.

“Kerugian bagi rantai leher dan cincin emas itu dianggarkan RM11,000 dan polis kini giat mengesan suspek,” katanya sambil menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Video berdurasi 1 minit 39 saat yang dipercayai sempat dirakam kamera video papan pemuka pengguna jalan raya memaparkan aksi cemas kejadian itu.

Turut kelihatan di dalam video itu empat individu menaiki motosikal berasingan dipercayai turut terbabit selain berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 4:43 PM