SEMUA pelajar asrama sempat keluar menyelamatkan diri daripada kebakaran Asrama Pusat Tahfiz Tarbiyatun Nisa. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

ASRAMA Pusat Tahfiz Tarbiyatun Nisa yang menempatkan 41 pelajar perempuan di Kampung Marabahai, Tuaran musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian bermula 6.50 pagi tadi dan tidak membabitkan sebarang kecederaan apabila semua pelajar terbabit sempat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.58 pagi, 11 anggota dikerah ke lokasi bersama dua jentera.

“Sebaik tiba, asrama satu tingkat jenis separuh kekal itu terbakar 100 peratus dan bomba segera menjalankan operasi pemadaman.

“Pada masa sama, pemeriksaan mendapati semua penghuni sudah keluar dan berkumpul di kawasan lapang kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Abdul Qawie berkata, cuaca panas dan keadaan berangin menyebabkan api marak dengan cepat, namun bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 7.38 pagi namun punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, pengurus asrama, ustazah Aishah Abdul Halim, berkata, kebakaran berlaku selepas sebahagian pelajar selesai menjalani kuliah subuh, manakala beberapa lagi pelajar berada di asrama disebabkan sakit.

“Sebaik semua pelajar itu kembali ke asrama, api mula marak di tingkat bawah menyebabkan salah pelajar menjerit meminta semua penghuni bergegas keluar,” katanya.

Menurutnya, antara yang menghuni asrama itu adalah anak yatim dan fakir miskin berusia tujuh hingga 26 tahun dan sesiapa yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh menghubunginya di talian 013-4148823.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:31 AM