PETIKAN ramakan kejadian samun di pasar mini di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram yang tular di media sosial. FOTO Facebook Peon Johor
Mary Victoria Dass


POLIS memburu empat lelaki yang terbabit dalam kegiatan samun berparang dalam kejadian di pasar mini di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, 10 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, dalam kejadian 10 malam itu, semua suspek menaiki kereta berhenti di hadapan premis itu.

“Dua suspek lelaki memasuki premis berkenaan menerusi pintu hadapan dengan bersenjatakan parang, manakala dua lagi menunggu di luar premis dan dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan yang berada di dalam premis merampas telefon bimbit milk pemilik kedai dan mengambail pelbagai jenama rokok sebelum melarikan wang di kaunter berjumlah RM1,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua puluh tahun dan sebatan sekiranya disabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, beberapa video kejadian samun berkenaan yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) tular di laman sosial facebook (FB) mendapat perhatian netizen.

Menerusi rakaman video masing-masing berdurasi kira-kira seminit lapan saat, kedua-dua lelaki didapati memakai topi, baju-T, selain seorang berseluar pendek manakala seorang lagi berseluar panjang.

Ketika melarikan diri, seorang lelaki juga mengacu parang ke arah lelaki yang sama dipercayai pengusaha kedai.

Video juga menunjukkan selepas kumpulan lelaki berkenaan beredar, beberapa lelaki dipercayai pekerja dan pengusaha kedai keluar bagi meninjau keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:52 AM