LOKASI kejadian selepas suspek diberkas dalam satu Op Tapis, di Kampung Wawasan Satu, di Lahad Datu. FOTO ihsan Polis
Hazsyah Abdul Rahman

PENGEDAR dadah yang pernah terbabit dalam kes cubaan bunuh diberkas polis dalam Op Tapis, di Kampung Wawasan Satu, Jalan Dam, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 5.20 petang, suspek lelaki, 39, ditahan bersama dadah 51.60 gram (G) yang dianggarkan bernilai RM7,740 berdasarkan harga pasaran semasa.

Turut ditahan, dua lelaki dan seorang wanita penagih dadah berusia 30-an dipercayai pelanggan kepada suspek pengedar dadah terbabit.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika serbuan, suspek dikesan sedang menagih dadah bersama tiga pelanggannya di rumah yang sering dijadikan sarang penagihan dadah.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, pengedar dadah terbabit cuba melarikan diri dengan memanjat naik ke bumbung rumah.

“Bagaimanapun, suspek terjatuh selepas struktur bumbung rumah berkenaan patah. Lelaki warga Indonesia itu sempat bergelut dengan anggota polis namun ditahan sejurus selepas itu,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiga pelanggan berkenaan turut berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan polis menemui beberapa bungkusan dadah daripada pengedar dadah terbabit.

“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan mendapati, suspek aktif menjadi pengedar dadah sejak 2015 dan memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk kes cubaan bunuh.

“Manakala tiga tangkapan lain memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan semua suspek didapati positif dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 12:11 PM