Antara pasangan yang ditahan penguat kuasa JAIM. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


LELAKI dipercayai anggota beruniform dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika memadu asmara dalam bilik hotel di Taman Melaka Raya, Melaka hari ini.

Lelaki berusia 44 tahun itu dicekup bersama pasangannya berusia 50 tahun di tingkat satu hotel terbabit ketika JAIM melakukan Operasi Hari Kekasih.

Ketika serbuan di bilik hotel itu jam 1.15 pagi itu, lelaki yang beralamat di kuarters anggota beruniform di Sepang, Selangor itu, segera menyatakan dia dan pasangannya mahu berkahwin.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, lelaki terbabit memberi kerjasama baik dengan membuka pintu namun sebaik melihat penguat kuasa JAIM, alasan bakal berkahwin tidak lama lagi terus diberikan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu berasal dari Johor manakala wanita pula dari Kelantan.

“Namun lelaki yang juga mualaf sejak 2011 itu dipercayai bekerja di Sepang manakala teman wanitanya bekerja di Johor Bahru,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu dibawa pulang ke pejabat JAIM untuk soal siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.

Terdahulu, sebelum dibawa ke pejabat JAIM, lelaki terbabit meminta dia dihantar ke keretanya untuk menyimpan pakaian.

Malah lelaki itu seperti sudah merancang bagi mengelak perbuatannya bersekedudukan dihidu kenalan apabila meletakkan keretanya di jambatan Pulau Melaka, kira-kira 2.5 kilometer dari hotel.

Selain tangkapan itu, Rahimin berkata, sepasang remaja dikenakan saman hadir ke pejabat JAIM mengikut Seksyen 71 enakmen sama kerana berkelakuan tidak sopan ketika tinjauan di Dataran Pahlawan di sini.

Operasi bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu membabitkan tinjauan di lokasi tumpuan pelancong sekitar bandar raya Melaka, hotel bajet dan lokasi gelap di tepi pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 4:55 PM