Hairulazim Mahmud


BARISAN Nasional (BN) mempertaruhkan aktivis masyarakat, Zakaria Hanafi sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Zakaria, 58, lulusan Sarjana Muda Sains Pembangunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah bekas Pengerusi UMNO Cawangan Kampung Sasapan Kelubi, Beranang yang juga anak tempatan DUN terbabit.

Beliau aktif dalam kalangan masyarakat setempat dan pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sesapan Kelubi, Setiausaha Surau Al-Falah dan Ahli Lembaga Pengarah KOPEL Hulu Langat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika membuat pengumuman itu berkata, BN menawarkan calon anak tempatan yang rapat dan mesra dengan masyarakat setempat.

Katanya, pihaknya yakin dengan keperibadian Zakaria, BN mampu menang pada PRK kali ini.

“Insya-Allah jentera kita akan bekerja kuat dengan kerjasama parti sahabat kita iaitu PAS dan calon akan turun bertemu mata dengan semua pengundi di DUN ini, sekali gus merampas kembali kerusi ini

“Saya menyeru semua pengundi menjadikan PRK Semenyih ini sebagai referendum atas ketidakpuasan hati kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis berkenaan di Bilik Gerakan Utama BN di Semenyih, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Semenyih pada 2 Mac manakala penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu ini dan tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 6:43 PM
    MOHAMAD (dua dari kanan) mengumumkan Zakaria (tengah) sebagai calon BN bagi PRK DUN Semenyih. FOTO Mohd Yusni Ariffin.