Suspek warga Filipina yang dikenali sebagai Roy Samad Totong (gambar kecil) ditangkap di Kampung Saga, Likas. Foto Ihsan Polis
Recqueal Raimi


SUSPEK yang diburu selepas menetak lelaki warga Australia sehingga parah berhampiran Kampung Kiwoi, Tamparuli di Tuaran, pada 24 Januari lalu, ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, bertindak hasil risikan sebaik suspek dikenal pasti 2 Februari lalu, suspek berjaya ditahan kira-kira 1 tengah hari ini di kawasan semak di Kampung Saga, Likas, Kota Kinabalu.

“Suspek cuba melarikan diri sehingga memaksa anggota polis mengejarnya sebelum berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek juga bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum dia berjaya ditahan,” katanya ditemui NSTP, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Inanam sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

“Setakat ini, suspek disahkan tiada dokumen perjalanan atau pengenalan diri, namun suspek mengaku senjata yang digunakan untuk menetak mangsa sebelum ini adalah miliknya.

“Selain itu, suspek mengaku berasal dari Filipina memperkenalkan diri sebagai Roy Samad Totong dan berusia 36 tahun,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek yang bertindak menetak mangsa hanya disebabkan salah faham itu kini ditahan di lokap IPD Tuaran dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro pada 24 Januari lalu melaporkan, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa menyebabkan suspek berang sebelum bertindak mengejar mangsa menggunakan pedang samurai.

Dalam kejadian 2.40 petang itu, mangsa cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan, namun gagal sebelum cedera ditetak di kedua-dua lengan dan belakang kepala.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suspek tetak warga Australia diburu

Usaha kesan suspek masih berjalan

Lelaki Australia parah ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 7:19 PM