Syahrulnizam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat terhadap rumah jirannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling batu dan kayu ke rumah jirannya membabitkan kerugian RM100.

Terdahulu, tertuduh, Syahrulnizam Baharom, 40, dari Gong Badak, Kuala Nerus mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan jirannya, Rosnani Mohamad @ Dagang, 40, menanggung kerugian RM100.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Perumahan Gong Badak, Kuala Nerus, jam 11.10 malam pada 8 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengamuk dengan membaling batu ke arah bumbung rumah serta membaling kayu besar ke arah tingkap rumah.

Tindakan tertuduh itu menyebabkan besi tingkap rumah mangsa tercabut dan mangsa yang bimbang kejadian buruk berlaku menghubungi Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 8:20 PM