Teong (dua kanan) menyampaikan cek faedah pengebumian kepada Noraini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


BALU, Noraini Md Zain, 50, menarik nafas lega apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi bantuan bulanan RM675 sebulan, bermula bulan ini, selepas kematian suaminya yang maut dalam kemalangan, 1 Februari lalu.

Suami Noraini, Allahyarham Munshi Yusof, 51, meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Tebuk Yan, Pantai Remis, Manjung, 6.45 pagi pada hari kejadian.

Selain menerima bantuan bulanan itu, PERKESO turut memberikan bantuan RM2,000 kepada Noraini dalam Majlis Penyerahan Cek Faedah Pengebumian di rumahnya, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengurus PERKESO Seri Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh dan Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Teong Duong Woon.

Noraini berkata, dia reda dengan kehilangan suami, biarpun ia sangat perit terutama kepada dua anak angkat mereka yang dijaga dari kecil iaitu Nor Amy Adeera, 24 dan Muhamad Raziq Rahimi, 8.

“Alhamdulillah, wang ini dapat membantu meringankan beban keluarga saya dan ia akan digunakan untuk kelangsungan hidup kami serta persekolahan anak,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro pada majlis itu, hari ini.

Menurut Noraini, kehilangan suami bukan hanya dirasai dirinya yang juga bekerja di syarikat sama di Sungai Dinding, Segari, namun memberi kesan kepada anak angkatnya itu.

“Luluh hati saya setiap kali mendengar anak angkat bongsu kami mengatakan walidnya sudah ke syurga dan saya terpaksa menahan air mata kerana tidak mahu menunjukkan kesedihan itu di depannya,” katanya.

Mengimbas kejadian yang menimpa arwah Munshi, Noraini berkata, pada hari kejadian suaminya keluar rumah lebih awal untuk membeli sarapan sebelum masuk kerja seperti biasa.

Katanya, mereka ke tempat kerja berasingan kerana suaminya bertugas sebagai penjaga stor yang memerlukannya keluar membeli barang terlebih dahulu, manakala dia pula kerani.

“Pagi itu, saya melalui kawasan kejadian dan nampak ada kemalangan serta terdetik rasa tidak sedap hati, namun saya tidak berhenti kerana mahu cepat.

“Ketika menunggu suami di tepi jalan berhampiran simpang masuk ke tempat kerja saya mula risau kerana dia masih tidak sampai lagi sedangkan sudah 7 pagi kerana saya perlu menghantar anak kami ke sekolah di Manjung.

“Saya terus menghubungi telefon suami tetapi pilu hati apabila dimaklumkan suami terbabit kemalangan,” katanya.


Noraini menunjukkan gambar kenangan keluarga bersama suami dan dua anak angkatnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 1:11 AM