GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Walaupun dikenakan bayaran RM2,000 untuk sekali cap, penemuan lebih 300 keping gambar membuktikan khidmat sindiket pemalsuan dokumen termasuk buku pelaut dan pasport tamat tempoh mendapat permintaan tinggi warga Vietnam untuk pulang ke negara asal secara haram.

Perkhidmatan yang ditawarkan itu dianggap selamat menyebabkan PATI terbabit sanggup datang jauh di seluruh pelosok negeri ini dan Pahang untuk menggunakan perkhidmatan sindiket itu.

Difahamkan, PATI hanya perlu membawa gambar berukuran pasport kepada ahli sindiket untuk memperoleh buku pelaut palsu menggunakan cap kelulusan palsu.

Gambar diproses dan dilekatkan pada buku pelaut palsu yang kosong seolah-olah mendapat kebenaran pihak berkuasa negara asal mereka sedangkan ia diproses di sebuah rumah di Taman Cemerlang 02, Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

Pegawai Penyiasat Kanan Zon Maritim Mersing, Leftenan Maritim Muhammad Fadzuan Razak berkata, sindiket dipercayai menggunakan orang tengah untuk mendapatkan tempahan buku pelaut warga Vietnam.

Katanya, ada warga Vietnam masuk secara sah dan berada di negara ini untuk tempoh tertentu namun berdepan masalah untuk ke laut kerana ketiadaan buku pelaut.

“Dengan bantuan orang tengah, proses mendapatkan buku pelaut palsu menjadi lebih mudah apatah lagi mempunyai cap kelulusan pihak berkuasa negara Vietnam,” katanya.

Menurutnya, ada nelayan negara itu membuat tempahan buku pelaut dengan mewakilkan ejen menguruskan dokumen penting itu.

“Kami tidak menolak pelbagai cara dilakukan mereka termasuk mengirim gambar ukuran pasport menerusi pos atau telefon bimbit.

“Kebiasaannya hanya satu gambar diperlukan untuk setiap transaksi menghasilkan buku pelaut yang siap dicap kelulusan palsu itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mencari petunjuk baharu atau dalang yang mempunyai hubung kait dengan sindiket.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 10:27 AM