GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


WARDEN asrama bukan saja disindir memiliki anak cacat, malah cedera di perut selepas diserang menggunakan pisau di pondok pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Rembau, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pada kejadian 4.50 petang, mangsa berusia 36 tahun berselisih faham dengan pengawal keselamatan berusia 55 tahun.

Katanya, mereka terdahulu berbual mengenai kupon parkir Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) lalu terjadi pertengkaran mulut.

“Pengawal keselamatan itu didakwa menyindir mangsa dengan mengatakan ‘Patutlah Tuhan Bagi Kau Anak Cacat’, menyebabkan dia berang.

“Warden asrama terbabit gagal menahan marah lalu menolak bahu kiri pengawal menyebabkannya hampir terjatuh,” katanya.

Anuar Bakri berkata, suspek mencapai sebilah pisau di tepi pondok lalu menyerang mangsa hingga berlaku pergelutan.

“Kejadian disaksikan masing-masing seorang guru dan kakitangan sekolah yang meleraikan pergaduhan.

“Ketika pergelutan pisau mengenai perut kiri mangsa menyebabkannya cedera,” katanya.

Anuar Bakri berkata, pada mulanya mangsa enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memperbesarkan kes namun disarankan oleh pihak sekolah dan syarikat kawalan keselamatan.

“Mangsa yang 10 tahun berkhidmat sebagai warden melaporkan di Balai Polis Pedas, 4.53 petang, semalam.

“Bertindak atas aduan, suspek ditahan di rumahnya di Desa Permai Kundur, di sini, semalam,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa sudah berkahwin dan memiliki tiga anak termasuk seorang yang cacat.

“Ketika soal siasat, suspek memberitahu tidak berpuas hati kerana mangsa mencampuri urusan peribadi dan menolaknya.

“Lelaki itu direman empat hari bermula hari ini hingga Isnin ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:17 PM