Kanak-kanak diselamatkan anggota bomba diserahkan kepada ibu masing-masing. FOTO Erika George.
Kanak-kanak diselamatkan anggota bomba diserahkan kepada ibu masing-masing. FOTO Erika George.
Erika George

DUA kanak-kanak berusia dua tahun menempuh detik mencemaskan apabila terperangkap dalam kereta selama 15 minit di hadapan Tadika Pimpin, Jalan Pisang Embun, Bintulu, hari ini.

Kejadian berlaku pada 7.30 pagi ketika ibu seorang daripada kanak-kanak itu keluar untuk membuka pintu tempat duduk belakang dan mengambil anak perempuan rakannya.

Bagaimanapun, anak lelaki wanita itu yang duduk di tempat duduk hadapan dipercayai tertekan butang kunci menyebabkan kenderaan berkenaan tidak boleh dibuka.

Bimbang kejadian buruk berlaku memandangkan anaknya gagal membuka kunci dan enjin kereta masih hidup, wanita berkenaan menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.31 pagi dan sembilan anggota dikerah ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota kami mendapati pintu kereta itu terkunci dan peralatan khas digunakan untuk membuka pintu kereta terbabit.

“Selepas terperangkap kira-kira 15 minit, dua kanak-kanak terbabit akhirnya berjaya dikeluarkan pada 7.46 pagi dan mereka diserahkan kepada penjaga masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:26 PM