Kawasan tembok panjang yang ditemui di lereng bukit Duyong selain kubur lama dipercayai ada kaitan dengan pusat ketenteraan lama. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Kawasan tembok panjang yang ditemui di lereng bukit Duyong selain kubur lama dipercayai ada kaitan dengan pusat ketenteraan lama. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


SESUAI dengan gelaran ‘Melaka Bandaraya Bersejarah’, ternyata banyak lagi khazanah lampau yang masih belum terungkap di negeri itu.

Jika penemuan batu nisan laterit di Solok Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, Melaka pada 24 Januari lalu didakwa digunakan lebih 500 tahun dulu, tidak jauh dari lokasi penemuan batu nisan itu turut dikesan tembok panjang di lereng bukit selain banyak lagi kuburan lama.

Tembok terbabit didakwa ada kaitan dengan pusat ketenteraan yang sudah lama ditinggalkan.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyung (PESAWAD), Khalid Hussin berkata, Kampung Duyong dipercayai berperanan sebagai tempat latihan ketenteraan pada era Kesultanan Melayu Melaka.

Dakwaan itu ada logiknya kerana lokasi di kampung terbabit yang terletak di kawasan berbukit, membolehkan pandangan mata meneroka seluruh pemandangan Kota Melaka dan dipercayai berperanan sebagai tempat meninjau kedudukan kapal musuh di Selat Melaka terutama ketika diserang Portugis pada 1511.

Khalid berkata, hujah itu dikukuhkan lagi menerusi catatan keluarganya secara turun temurun yang diwariskan nenek moyang terdahulu hingga ke generasi kini.

Menurut catatan itu, Kampung Duyong dibuka ibu bapa Hang Tuah iaitu Hang Mahmud dan Dang Merduwati yang datang dari Palembang pada 1440.

“Antara yang dicatatkan, selepas tinggal di Pulau Besar selama 40 hari bersama saudara-mara, mereka (keluarga Hang Mahmud) berpindah di satu kawasan balik bukit bergelar Duyong dan di sinilah mereka mendirikan rumah dan bercucuk tanam sementara sebahagian saudara-maranya mendiami kawasan di Bukit Katil dan Semabok.

“Ketika Melaka diancam Portugis, pahlawan dari Kampung Duyong banyak memainkan peranan mempertahankan negeri ini dan sebuah bukit yang kini menjadi tempat letaknya tangki dan kolam air Duyong adalah lokasi pertahanan penduduk kampung ketika berperang dengan Portugis,” katanya.

Khalid mengulas mengenai kewujudan tembok seakan kubu yang diperbuat dari batu laterit di lereng Bukit Ranting di Duyong yang didakwa turut mempunyai kaitan dengan sejarah kampung itu.

Menurutnya, tembok itu dipercayai ada kaitan dengan kubu yang dibina penduduk Kampung Duyong sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana lokasi terbabit strategik dengan ketinggiannya untuk mengawal perairan Selat Melaka dan meninjau keseluruhan Kota Melaka.

“Dari segi rupa bentuk dan susunan adalah batu laterit, cuma kita tidak dapat pastikan adakah binaan ini dibuat ketika zaman penjajahan atau sebaliknya.

“Apa yang pasti, menurut catatan keluarga kami, bukit ini dijadikan lokasi peninjau untuk memerhatikan Selat Melaka serta kedudukan kapal musuh,” katanya yang turut mengharapkan kajian lebih mendalam bagi penemuan bersejarah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:33 PM